Skim Juruteknologi Pergigian masih di tahap lama walaupun Skim Bersepadu telah 10 tahun dilaksanakan. Mohon Skim Juruteknologi Pergigian dimasukkan ke Skim Bersepadu bersama Para medic yang lain.
Mohon pertimbangan Kementerian Kesihatan memberi peluang kepada Juruteknologi Pergigian bagi melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi, iaitu Ijazah Teknologi Pergigian di dalam negara.
Pengajar-Pengajar Juruteknologi Pergigian di Kolej Latihan Pergigian Malaysia wajar dihantar untuk mengikuti Ijazah Teknologi Pergigian di Pusat Pendidikan Tinggi di dalam atau diluar negeri.
Juruteknologi Pergigian hendaklah dibebaskan daripada beban kerja yang tidak perlu memandangkan kes-kes penghasilan Aplians terlalu banyak dan memerlukan masa yang lama untuk kerja-kerja penghasilan. Tugas-tugas seperti pengurusan stor bolehlah diserahkan kepada kerani yang menerima elaun stor dan diyakini boleh menjalankan tugas-tugas dengan lebih berkesan berikutan penumpuan khusus kepada pengurusan stor.
Pengurusan aset kerajaan hendaklah diserahkan kepada Pegawai Pergigian berikutan wujud pekeliling menyatakan pengurusan aset aleh kerajaan hendaklah dilakukan oleh Pegawai, bukan kakitangan sokongan.
Tugas-tugas penyelenggaraan dan pembaikan peralatan biomedikal. Juruteknologi Pergigian adalah TIDAK TERLATIH / TIDAK BERTAULIAH untuk menjalankan apa-apa tugas membaikpulih, penyelenggaraan peralatan biomedikal, pembaikan peralatan eletrik dan kaliberasi peralatan biomedikal.
Satu standard (Piawaian) berkenaan kemasukan kes-kes baru hendaklah diwujudkan dan dipatuhi oleh Pegawai-Pegawai Pergigian, contohnya tidak melebihi 4 kes baru seminggu untuk seorang Juruteknologi Pergigian. Di sesetengah fasiliti Pergigian, terdapat sehingga 25 kes baru dan lebih, untuk seorang Juruteknologi Pergigian sebulan.
Tuntutan elaun kritikal berikutan penghasilan Aplians yang memerlukan Juruteknologi Pergigian bekerja menggunakan bahan-bahan pempolimeran, pengendalian impresi yang memungkinkan penularan penyakit Jangkitan Silang. Kekurangan Juruteknologi Pergigian di perkhidmatan awam berbanding dengan Pegawai Pergigian maka tuntutan ini adalah suatu yang relevan.
Kes-kes baru penghasilan aplians hendaklah mengikut bilangan dan kemampuan Juruteknologi Pergigian, BUKAN mengikut bilangan Pegawai Pergigian.
Keperluan menambahkan bilangan Kolej Latihan Teknologi Pergigian Malaysia. Satu sistem latihan baru diperlukan untuk membolehkan lebih ramai Juruteknologi Pergigian bertauliah memasuki pasaran kerja.Dicadangkan, mewujudkan dua(2) atau lebih Kolej Latihan Teknologi Pergigian Malaysia untuk menampung kekurangan Juruteknologi Pergigian di lapangan kerja untuk masa sekarang.
Pengetua/Pengarah Kolej Teknologi Pergigian tersebut juga hendaklah terdiri daripada profesyen Juruteknologi Pergigian itu sendiri, bukan daripada kalangan Pegawai Pergigian, seperti mana kolej latihan sains bersekutu yang lain. Hanya Juruteknologi Pergigian sahaja yang benar-benar faham perkara berkaitan profesionalisme Juruteknologi Pergigian.
Mohon Tambahan jawatan Juruteknologi Pergigian di setiap daerah untuk U29.U30, U36, U38 dan U40 untuk setiap negeri dan Hospital.