Utama Direktori Berita

Berita

SAMBUTAN HARI SAINS KESIHATAN BERSEKUTU NEGERI PERAK 2023

Profesion Sains Kesihatan Bersekutu Perak bersama Jabatan Kesihatan Negeri Perak telah pun menganjurkan Sambutan Hari Sains Kesihatan Bersekutu Negeri Perak 2023 yang telah disempurnakan oleh YB Tuan Sinavesan A/L Achalingam, Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Orang India & Integrasi Nasional.

Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Pergigian iaitu Dr. Salleh Bin Zakaria turut dijemput sebagai tetamu terhormat selain dari Pengarah Kesihatan Negeri Perak, Timbalan Pengarah Kesihatan Awam dan turut serta juga adalah Timbalan Pengarah Bahagian Sains Kesihatan Bersekutu KKM iaitu Puan Viola Binti Michael.

Sambutan ini bertujuan mempromosikan tentang kepelbagaian kerjaya dan peranan yang dimainkan oleh kesemua Profesion Sains Kesihatan Bersekutu. Terdapat 20 profesion yang terlibat di dalam program ini dan di antaranya adalah dari Profesion Juruteknologi Pergigian negeri Perak dari skim kumpulan makmal.

Semua skim perkhidmatan yang ada dalam Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) adalah sama penting dan saling memerlukan satu sama lain dalam menyediakan perkhidmatan terbaik dan berkualiti kepada masyarakat.

Seramai lapan orang Juruteknologi Pergigian Perak terlibat sebagai petugas pameran. Namun begitu komitmen dari seluruh Juruteknologi Pergigian Perak juga tidak berkecuali dengan agihan tugas dari setiap daerah seperti penghasilan tayangan video, poster infografik, contoh –contoh model aplian, peralatan kelengkapan kecil dan bahan pergigian makmal.

Antara aktiviti yang dilaksanakan sempena sambutan ini ialah Pameran Kerjaya, Pameran Interaktif, Saringan Kesihatan, Sudut Nasihat dan juga Persembahan.

TAHNIAH KEPADA JURUTEKNOLOGI PERGIGIAN PERAK YANG BERSAMA-SAMA MENYERTAI PROGRAM TERSEBUT.