Sambutan Hari Juruteknologi Pergigian 2026 telah diadakan pada 18 Januari 2026 (Ahad) bertempat di Auditorium Pusat Pergigian Kanak-Kanak & ILKKM (Pergigian), Georgetown. Program ini merupakan sambutan julung kali dianjurkan bagi mengiktiraf peranan dan sumbangan Juruteknologi Pergigian dalam sistem perkhidmatan kesihatan pergigian negara.
Program ini telah menghimpunkan hampir 150 peserta hadir, terdiri daripada bekas pengajar Juruteknologi Pergigian, anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang berkhidmat sebagai Juruteknologi Pergigian, wakil-wakil daripada Malaysian Dental Technology Association (MDTA), Persatuan Juruteknologi Pergigian Malaysia (PJPM), Kesatuan Juruteknologi Pergigian Semenanjung Malaysia (KJPSM) serta para pegajar dan pengamal Juruteknologi Pergigian dari seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.
Majlis telah dirasmikan oleh Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Pergigian), Dr. Fauziah Binti Ahmad, dan turut dihadiri oleh Pengarah Bahagian Sains Kesihatan Bersekutu (BSKB), Puan L. Mageswary a/p Lapchmanan, serta Pengarah PPKK & ILKKM (Pergigian), Dr. NorHaslina Binti Mohd Hashim.
Profesion Juruteknologi Pergigian di Malaysia bermula sebagai Mekanik Pergigian pada tahun 1951, sebelum dikenali sebagai Juruteknik Pergigian pada tahun 1959, dan seterusnya ditukar kepada Juruteknologi Pergigian secara rasmi pada 18 Januari 1996. Perubahan ini selaras dengan perkembangan teknologi, peningkatan skop tugas serta pemantapan profesionalisme dalam bidang pergigian negara.
Berdasarkan pengiktirafan ini, 18 Januari telah dipilih sebagai tarikh rasmi sambutan Hari Juruteknologi Pergigian. Penganjuran program ini bertujuan mengiktiraf peranan Juruteknologi Pergigian sebagai tenaga profesional sokongan kesihatan yang memainkan peranan penting dalam penghasilan protesis pergigian, aplians ortodontik dan aplians maksilofasial, bagi menyokong penyampaian perkhidmatan pergigian yang berkualiti.
Secara keseluruhannya, Sambutan Hari Juruteknologi Pergigian 2026 telah dilaksanakan dengan lancar, teratur dan berjaya mencapai objektif yang ditetapkan.




Users Today : 72
Users Yesterday : 82
This Month : 1208
This Year : 7431
Total Users : 54363
Views Today : 222
Total views : 138536
Who's Online : 1